|
Perkhabaran dari langit bermaksud wahyu yang diturunkan merusi malaikat kepada Nabi Muhammad Saw untuk disampaikan kepada manusia. Allah berlaku adil kepada manusia kerana tanpa perkhabaran dari langit manusia akan tercari-cari petunjuk mengenai alam , ciptaannya dan kehidupan manusia. Allah memberitahu manusia mengenai batasan mereka. Perkhabaran dari langit bermaksud membimbing manusia menjadi hamba dan khalifah yang memahami peranan dalam mengurus diri, keluarga dan alam. Apabila manusia menjadikan perkhabaran dari langit sebagai sesuatu yang bermanfaat untuk kehidupan di bumi, ia membayangkan kedekatan hubungan manusia dengan Allah sebagai pencipta dan pengurus alam ini dan seluruh isinya. Darinya petunjuk dan kebenaran dari Allah dilihat, kekuasaan daripada Allah dirasakan dan ketentuan-Nya dinikmati dan dilalui. Dalam Surah Surah Ar Rum, ayat 24, Allah memberi perisyaratan mengenai hujan. "Dia menurunkan hujan dari langit lalu menghidupkan bumi dengan air itu selepas matinya. Sesungguhnya benar-benar ada tanda bagi kaum yang menggunakan akalnya". Surah Al Anbiyaa' (Nabi-nabi) ayat 30, Allah berfirman , "Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Dan mengapakah mereka tidak juga beriman?" Surah Ar Ra'd (Guruh) ayat 3, Allah berfirman, "Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasang-pasangan". Yang dimaksudkan 'berpasang-pasangan' ialah jantan dan betina, pahit dan manis, putih dan hitam, kecil dan besar dan sebagainya. Surah Yasin, ayat 36, Allah menyatakan, "Maha Suci Allah yang menciptakan pasangan semuanya, baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka mahupun daripada apa yang mereka tidak ketahui". Perisyaratan daripada Allah ini terkandung sesuatu yang logik dan saintifik. Bagi manusia yang mempunyai daya renung yang tinggi akan timbul keinsafan bagaimana perkhabaran daripada langit iaitu wahyu memberikan kunci kepada manusia mengenai alam kejadian termasuk manusia. Keupayaan akal manusia dan pancaindera adalah terbatas. Akal yang membolehkan manusia hanya alat yang terbatas fungsinya. Sedangkan alam luas tidak terbatas sifatnya. Jangkauan fikir dan kaji selidik hanya mengetahui perkara asas bagi membolehkan kehidupan berlaku. Akal yang dijadikan alat dipandu oleh perkhabaran dari langit bakal menjadikan penerokaan manusia mengenai alam dan Penciptanya menjadi lebih kuat dan sempurna. Kalau tidak manusia tidak dapat memahami maksud sesuatu yang nyata dan maksud sesuatu yang ghaib. Al-Quran sebagai kunci pedoman manusia memahami alam nyata dan alam ghaib adalah penting bagi manusia kerana darinya terdapat petunjuk saintifik memahami alam, angkasa lepas, bumi dan manusia dan maksud sebenar manusia di ciptakan dan maksud sebenar rahmah dan nikmah dilimpahkan. |
| Leave a Comment: |